KUALA LUMPUR: Peningkatan dalam standard penjagaan atlet adalah antara empat perkara asas yang perlu diterap dalam draf Akta Sukan Selamat, menurut badan bukan kerajaan Safe Sport Malaysia (SSM).

Presidennya Sarina Sundara Rajah berkata aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah perluasan pelaporan mandatori, latihan pencegahan wajib dan perlindungan pemberi maklumat bagi menjamin keselamatan, pemerkasaan sukan dan kebajikan atlet.

"Kesemua perkara asas ini saya rujuk kepada akta seumpama itu di Amerika Syarikat (AS) yang sudah diguna pakai lebih kurang lima tahun," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Faizal Azumu berkata kementeriannya sedang merangka draf Akta Sukan Selamat yang dijangka siap selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Ahmad Faizal yang memaklumkan perkara itu melalui jawapan bertulis di Parlimen pada Mac lepas menjelaskan akta tersebut bakal menjadi garis panduan bagi pemegang taruh untuk mencegah gangguan seksual, selain memastikan wujud mekanisme undang-undang bagi melindungi pihak terlibat.

Sarina berkata Malaysia akan menjadi negara kedua yang mempunyai akta seumpama itu selepas AS sekiranya perkara berkenaan direalisasikan.

Menurutnya, SSM bersedia berganding bahu dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tujuan berkenaan supaya Akta Sukan Selamat dapat diterima pakai di negara ini demi kemajuan sukan tanah air.

"SSM sendiri ditubuhkan untuk menjalankan program advokasi dan kesedaran mengenai sukan selamat, serta mendapatkan sokongan orang ramai bagi akta ini dan diharap pihak berkuasa dapat menyokong sepenuhnya SSM," katanya.

-- BERNAMA