KUALA LUMPUR: Akta Syarikat (Pindaan) 2024 yang berkuat kuasa 1 April lalu memberi benefisial jangka panjang kepada syarikat-syarikat yang berdepan dengan isu kewangan pasca COVID-19 menerusi penambahbaikan perundangan berhubung mekanisme penyelamat korporat dan rehabilitasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, selain itu, pihaknya juga mengambil inisiatif untuk menambah baik perundangan membabitkan ketelusan dan tadbir urus.

"Perundangan itu adalah berkaitan dengan pelaporan atau penzahiran maklumat tentang pemunyaan benefisial atau BO (beneficial ownership) dengan mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa.

"SSM berpendapat Malaysia harus mempunyai perundangan yang lebih efektif dalam memerangi aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Nor Azimah menjelaskan, perundangan baharu itu dapat memperluaskan proses rehabilitasi korporat yang lebih efektif kerana ia akan memudahkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan untuk memohon pelan-pelan penyelamat korporat.

"Apabila syarikat-syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan ini berjaya direhabilitasi dan kembali beroperasi, maka mereka dapat menjalankan perniagaan, menjana hasil dan terus mengekalkan tenaga kerja mereka.



"Dengan ini ia secara langsung akan meningkatkan dan menyokong pemulihan ekonomi negara," jelasnya.
Sementara itu, pindaan berhubung pelaporan pemunya benefisial adalah bertujuan untuk mempertingkat ketelusan korporat mengenai pelaporan pemunyaan benefisial.

Nor Azimah menjelaskan bahawa perundangan mengenai pelaporan pemunya benefisial menurut Akta Syarikat 2016 memerlukan pelaporan oleh individu atau orang perseorangan yang memiliki atau mengawal sesebuah entiti syarikat.

Pindaan yang diperkenalkan mewajibkan penzahiran statusnya dan kegagalan berbuat demikan adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016.

"Perundangan ini wujud di kebanyakan negara di peringkat antarabangsa, di mana keperluan menzahirkan maklumat BO ini adalah bagi memastikan syarikat tidak disalah gunakan oleh individu, yang identitinya tidak dizahirkan dan berselindung di sebalik tabir entiti syarikat, bertujuan melindungi aktiviti jenayah berat seperti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakkan cukai," tambahnya.

Pada masa sama ujarnya, ia akan membantu pihak penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung jenayah pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan jenayah berat yang lain.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Akta Syarikat (Pindaan) 2024 mengandungi 31 fasal yang boleh dikategorikan kepada empat kluster polisi seperti di bawah:

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penambahbaikan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial itu mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan elak membayar cukai.