KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara akan menghadapi cabaran daripada pasukan ternama seperti Juara Olimpik tiga kali, Great Britain, pasukan kelima dunia, Jerman dan New Zealand dalam Kelayakan Olimpik di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Jan tahun depan untuk mencapai impian ke Sukan Paris 2024.

Menurut pengumuman terkini Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) hari ini, pasukan-pasukan lain dalam saingan kali ini terdiri daripada Pakistan, Kanada, Chile dan China yang mungkin berhadapan skuad Speedy Tigers dalam aksi kelayakan kali ini.

Kelapan-lapan pasukan itu akan dibahagi kepada dua kumpulan yang setiap satunya dianggotai empat pasukan. Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir sementara hanya tiga pasukan teratas daripada aksi kelayakan di Muscat akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Satu lagi aksi kelayakan akan berlangsung di Valencia, Sepanyol dari 13 hingga 21 Jan menyaksikan pertembungan antara Belgium, tuan rumah, Korea Selatan, Ireland, Jepun, Austria, Mesir dan Ukraine.

Malaysia terlepas peluang pertama untuk layak ke Paris 2024 sebagai juara benua selepas gagal untuk mara melepasi peringkat kumpulan di Sukan Asia Hangzhou, bulan lepas.

Sejumlah enam pasukan dari aksi kelayakan di Muscat dan Valencia akan menyertai tuan rumah Perancis dan lima juara benua - Australia (Oceania), Argentina (Amerika), India (Asia), Belanda (Eropah) dan Afrika Selatan (Afrika) - di Paris, musim panas depan.

Sementara itu, pasukan wanita kebangsaan akan bertemu Belgium, Great Britain, Sepanyol, Korea Selatan, Ireland, Kanada, dan Ukraine di Valencia dari 13 hingga 19 Jan.

Satu lagi aksi kelayakan wanita yang akan diadakan di Ranchi, India dengan penyertaan Jerman, India, New Zealand, Jepun, Chile, Amerika Syarikat, Itali dan Republik Czech dijadualkan dari 13 hingga 19 Jan.

"Pasukan lelaki dan wanita telah dibahagikan kepada dua kumpulan berasaskan ranking dunia pada tengah malam 5 Nov, sebaik sahaja Kejohanan Benua selesai.

Pasukan yang berada di tempat tiga teratas di setiap Kejohanan Kelayakan Olimpik akan mendapat slot ke Sukan Olimpik," menurut FIH.

-- BERNAMA