PERDANA Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat daripada juara Mid Season Cup (MSC) Mobile Legends Bang Bang 2024, Selangor Red Giants (SRG) di Putrajaya, semalam.

Pasukan E-Sukan itu menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk dinobatkan sebagai juara pada Julai lalu untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM4.6 Juta sekali gus mencipta sejarah sebagai pasukan dari Malaysia pertama yang muncul juara.

Kini, SRG sedang bersaing sengit dengan rentak kemenangan dalam saingan Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-14 dengan rekod tanpa kalah dalam saingan liga dengan menduduki tangga teratas carta liga.

"Pagi tadi saya telah menerima kunjungan hormat daripada pasukan E-Sukan Selangor Red Giants, yang telah mencipta sejarah dengan menjuarai Kejohanan Mid-Season Cup Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2024 di Esports World Cup yang berlangsung di Riyadh pada Julai lalu.

"Saya zahirkan ucapan tahniah atas usaha gigih pasukan hingga membuahkan kejayaan yang menjadi kebanggaan buat pasukan dan negeri Selangor, serta melambangkan potensi anak muda Malaysia di pentas e-sukan antarabangsa.

"Kerajaan MADANI menyokong penuh pembangunan industri e-sukan yang terus berkembang pesat dan menantikan kemunculan lebih banyak pasukan e-sukan yang mampu bersaing hebat serta meraih pengiktirafan dunia.

"Semoga Malaysia dan Selangor Red Giants dapat melakar sejarah sekali lagi di Kejohanan Dunia MLBB M6 yang bakal berlangsung di Axiata Arena pada akhir tahun ini, Insya-Allah." kata Perdana Menteri menerusi laman Facebook. - Stadium Astro