Kejayaan itu diraih selepas mencatat kemenangan penting pada aksi keempat peringkat Swiss menentang wakil China, Keep Best Gaming (KBG), di IOI City Mall Putrajaya, pada Rabu.
Pada perlawanan format best of 3 (BO3), anak buah Michael Angelo Bocado (Arcadia) menunjukkan aksi cemerlang apabila memenangi perlawanan pertama dengan skor 11 kills berbalas empat dalam masa lebih 14 minit untuk mendahului 1-0.
Mereka terus mengekalkan momentum pada perlawanan kedua dengan kemenangan bergaya 10 kills tanpa balas untuk mengesahkan kemenangan mutlak 2-0.
Sementara itu, satu lagi pasukan Malaysia Team Vamos berjaya mengelak daripada tersingkir awal selepas menewaskan wakil Turkiye S2G 2-0.
Kedua-dua pasukan Malaysia itu kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk memastikan tempat mereka di pusingan kalah mati yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.
-- BERNAMA