KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengekalkan sembilan pemain daripada skuad 2022 yang membawa Malaysia muncul juara edisi lepas bagi menggalas tugas mempertahankan kejuaraan Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan dari 21 hingga 25 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan MHC Shurizan Mansor berkata tiga muka baharu turut ditampilkan bagi melengkapkan senarai 12 pemain ke kejohanan berkenaan iaitu dua tonggak pertahanan Muhammad Aminuddin Mohd Zain dan Shazril Irwan Nazli serta penyerang Abdul Khaliq Hamirin.

"Persaingan kali ini lebih mencabar kerana format digunakan agak berlainan dengan johan dan naib johan kedua-dua kumpulan akan bermain satu lagi pusingan bagi menentukan pasukan yang layak ke final, dan dua pasukan ke final itu akan ke Piala Dunia 2025 secara automatik.

"Sekiranya Malaysia berjaya melangkah ke final ia akan menjadi sejarah untuk sukan ini khususnya, kerana ia merupakan kali pertama Malaysia ke Piala Dunia. Pastinya akan membuka ruang untuk lebih banyak perhatian serta bantuan diberikan kepada pasukan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, pengendali skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berkata pemilihan pemain dilakukan dengan menilai kebolehan teknikal serta taktikal individu selain kecergasan, semangat satu pasukan dan disiplin dimiliki seseorang pemain.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Kazakhstan, Oman dan Indonesia sementara Kumpulan A menyaksikan persaingan antara Iran, Thailand, Singapura, dan Tajikistan.

Di pusingan kedua, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan diletakkan dalam Kumpulan C manakala baki pasukan lain akan diletakkan dalam Kumpulan D.

Dua pasukan teratas dalam Kumpulan C akan beraksi di pentas final selepas tamat perlawanan pusingan kedua.

Malaysia mencipta sejarah pada edisi 2022 di Bangkok, Thailand apabila merangkul kejuaraan sulung Piala Asia dengan menumpaskan juara lapan kali Iran, 3-2, menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam masa sebenar perlawanan.


Berikut merupakan senarai 12 pemain skuad hoki dalam dewan lelaki negara yang menggalas tugas beraksi di Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakshtan bermula 21 sehingga 25 Mei ini:


BilNamaPosisi
1.Mohd Khairul Afendy KamaruzamanPenjaga gol
2.Mohamad Hazrul Faiz Ahmad SobriPenjaga gol
3.Muhammad Najmi Farizal JazlanPertahanan
4.Muhammad Aminuddin Mohd ZainPertahanan
5.Muhammad Aslam Mohamed HanafiahPertahanan
6.Shazril Irwan NazliPertahanan
7.Muhammad Firdaus OmarTengah
8.Muhammad Izham AzharTengah
9.Norsyafiq SumantriPenyerang
10.Muhammad Ashran HamsaniPenyerang
11.Faridzul Afiq MohdPenyerang
12.Abdul Khaliq HamirinPenyerang


-- BERNAMA