Sabah FA mengutip tiga mata penting malam tadi apabila menewaskan PFC Nasaf dengan jaringan 2-1 di Stadium Likas di sini manakala satu lagi mata diraih setelah seri tanpa jaringan dengan APF FC pada Khamis lepas.
Pada perlawanan malam tadi, seawal babak pertama pasukan tuan rumah kendalian ketua jurulatih Justin Ganai mempunyai beberapa peluang melakukan percubaan ke pintu gol lawan namun gagal dimanfaatkan bahagian serangan Sabah FA.
PFC Nasaf kelab daripada Uzbekistan kendalian Jonimqulova Maftuna turut melakukan beberapa percubaan berbahaya namun gagal membolosi penjaga gol Sabah FA Nurul Azurin Mazlan yang bertindak cemerlang.
Pada minit ke-31 penyerang Sabah FA Win Theimgi Tun yang juga pemain kebangsaan Myanmar mencipta jaringan menerusi sepakan kencang di luar kotak penalti yang berjaya menewaskan penjaga gol PFC Nasaf Jonimqulova Maftuna untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Pada minit ke-44 Sabah FA dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Tian Jin apabila Henrietta Justine dikasari penjaga gol lawan.
Jonimqulova berjaya menepis sepakan penalti diambil Eri Narita, bagaimanapun Win pantas melakukan tindakan susulan menyepak kencang bola ke jaring menjadikan kedudukan 2-0 buat Sabah FA.
Bermula babak kedua, permainan semakin rancak dengan PFC Nasaf melakukan beberapa serangan namun masih gagal menghasilkan gol.
Pada minit ke-82 PFC Nasaf berjaya mendapatkan gol hasil tandukan pemain pertahanannya Albine Emma Nogonja menjadikan kedudukan 2-1 dan keputusan kekal sehingga tamat permainan.
Sabah FC muncul juara Kumpulan C dengan empat mata mengatasi PFC Nasaf yang meraih tiga mata, manakala APF FC dari Nepal di tangga terakhir dengan satu mata.
-- BERNAMA