MANCHESTER UNITED 1 WEST HAM UNITED 0

Marcus Rashford berkata tiada apa dapat menandingi keriangan menjaringkan gol saat-saat akhir di Old Trafford selepas jaringan tunggalnya dalam waktu kecederaan memberikan kemenangan buat Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Penyerang England itu menyudahkan sentuhan terakhir yang melibatkan empat penyerang pada ketika perlawanan itu kelihatan akan berakhir tanpa sebarang gol.

Cristiano Ronaldo menghulurkan bola kepada Anthony Martial, yang kemudian melorongkan bola buat Edinson Cavani dalam kawasan penalti. Cavani kemudian melakukan satu lintangan rendah untuk mudah ditolak masuk Rashford dari jarak dekat.

Martial, Cavani dan Rashford merupakan pemain gantian yang di bawa masuk pengurus interim, Ralf Rangnick, untuk meningkatkan keupayaan serangan United, yang bergelut untuk memecahkan benteng pertahanan West Ham.

Percaturan itu ternyata membuahkan hasil buat The Red Devils meraih tiga mata berharga, sekali gus memintas lawan kendalian David Moyes itu dalam perebutan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Ditanya tentang penamat gemilang perlawanan itu, Rashford berkata: "Ini adalah perlawanan terbaik untuk melibatkan diri dan apabila anda berada di pasukan yang menang, ia memberikan perasaan yang hebat dan tiada apa dapat menandingi perasaan ini dalam bola sepak.

"Kami amat gembira. Ia satu perlawanan yang besar menentang lawan yang pada ketika ini berada di kedudukan yang amat hampir dengan kami, jadi adalah penting untuk kami mendapatkan kemenangan.

"Anda mungkin tidak dapat melihatnya sekarang tetapi pada penghujung musim, ia mungkin hanya akan dibezakan tiga atau empat mata dalam perebutan empat teratas, jadi kami amat gembira untuk mendapatkan tiga mata hari ini, dan kami perlu menggunakannya sebagai motivasi," katanya.