SKUAD hoki negara meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Piala Remaja Asia apabila membelasah tuan rumah, Oman, 9-1 dalam aksi kedua Kumpulan B di Muscat awal pagi tadi.
Harris Iskandar Osman muncul pemain paling cemerlang dengan meledakkan empat gol sambil P. Naaveennash turut meraih jaringan berganda.
Skuad negara mendahului 4-0 seawal suku pertama, di mana Harris Iskandar (m-1, 11) dan Naaveennash (m-6, 12) masing-masing menjaringkan dua gol.
Menjelang separuh masa, Malaysia memperoleh satu lagi jaringan, kali ini menerusi gol padang Handzalah Abdul Hadi pada minit ke-24.
Harris Iskandar kemudian memperoleh jaringan ketiga peribadinya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35 dan Danish Aiman Khairil Anuar turut meletakkan diri selaku penjaring pada minit ke-35 sebelum Oman merapatkan jurang hasil sentuhan Ahmad Al Qasmi pada minit ke-39.
Harris Iskandar sekali lagi cemerlang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-40 sebelum Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar melengkapkan hari gemilang skuad negara dengan jaringannya pada minit ke-54.
Dengan kemenangan itu, Malaysia kini menerajui Kumpulan B dengan enam mata daripada dua perlawanan dan akan menghadapi Bangladesh bagi perlawanan ketiga pada Sabtu ini.
Terdahulu, skuad negara membuka kempen dengan menewaskan China 5-2 semalam. - Stadium Astro