Gawang negara bocor pada minit kelapan apabila Sangita Kumari memanfaatkan pukulan sudut penalti untuk meletakkan juara bertahan di depan 1-0 dan kedudukan tersebut kekal sehingga suku kedua perlawanan.
Bersambung suku ketiga, situasi pukulan sudut penalti jelas membawa padah buat pasukan kendalian Mohamed Nasihin Nubli Ibrahim apabila melepaskan dua gol berturut-turut dalam masa seminit masing-masing menerusi jaringan Preeti Dubey pada minit ke-43 dan Udita pada minit ke-44
Sangita sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Malaysian Tigress apabila meledak jaringan padang lima minit sebelum wisel penamat dibunyikan, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya buat anak buah Harendra Singh.
Tugas berat menanti Malaysia pada perlawanan kedua apabila dijadual bertemu pemenang perak Sukan Olimpik 2024, China, hari ini, diikuti juara tiga kali Korea Selatan Khamis, Jepun (Sabtu) dan menutup kempen kumpulan menentang Thailand, Ahad ini.
Hanya empat pasukan teratas layak ke perlawanan separuh akhir, manakala dua pasukan tercorot akan bertarung dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam.
Tahun lepas, Malaysia menamatkan saingan ACT Wanita di tempat kelima dengan menumpaskan Thailand 1-0 di Ranchi, India.
Biarpun tewas, Mohamed Nasihin berkata secara keseluruhannya beliau tetap berpuas hati dengan permainan yang dipamerkan dengan kebanyakan pemain kembali bermain bersama sejak siri jelajah di Wales, Ogos lepas.
"Apa yang penting sekarang adalah untuk pemain fokus dalam proses pemulihan menjelang pertemuan menentang China esok," katanya menerusi video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia kepada media.
-- BERNAMA