Kejadian berlaku di hadapan kira-kira 10,000 peminat kedua-dua pasukan sejurus Felda United FC (FUFC) layak ke separuh akhir melalui keputusan agregat selepas berakhirnya saingan suku akhir kedua malam tadi.
Keputusan 3-3 yang dicatat FUFC ketika berdepan juara 32 kali Selangor pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang malam tadi menyaksikan mereka layak dengan kemenangan agregat 7-3.
Keadaan kecoh apabila kalangan penyokong mula membakar suar di dalam stadium. -Foto Bernama
Skuad 'The Fighters' menang selesa 4-0 ke atas Selangor pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 3 Okt lepas.
Pada aksi di Pahang itu, skuad Gergasi Merah berjaya meraih gol pembukaan hasil jaringan Paulo Rangel pada minit ke-30 selepas beliau menyambar bola yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol FUFC, Mohd Farizal Harun.
Suar yang dilempar ke dalam padang berjaya dialihkan. -Foto Bernama
Edward Junior Wilson menyamakan kedudukan untuk skuad The Fighters pada minit ke-48 menerusi rembatan kencang namun kegembiraannya tidak bertahan lama apabila Andik Vermansah meledak gol kedua Selangor, empat minit kemudian.
Rangel mencipta gol peribadi keduanya pada minit ke-62 selepas menyudahkan hantaran daripada Andik sebelum Edward merapatkan jurang jaringan, tujuh minit kemudian.
Indra Putra Mahayuddin memusnahkan harapan Selangor untuk meneruskan 'Misi 33' dengan gol ketiga pada minit ke-85.