TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan memohon agar sebuah helikopter bomba ditempatkan di negeri ini sebagai persiapan menghadapi musim akhir Monsun Timur Laut bulan ini.

Pengarahnya Zainal Madasin berkata langkah itu wajar memandangkan Kelantan antara negeri yang lazimnya mengalami banjir lebih teruk berbanding negeri lain.

Beliau berkata ketika ini, helikopter berkenaan ditempatkan di Wakaf Tapai, Terengganu untuk kegunaaan negeri-negeri Pantai Timur.

"Kami telah menyuarakan cadangan ini kepada ibu pejabat agar aset itu ditempatkan di Kelantan untuk musim tengkujuh ini yang akan kita tempatkan di JBPM Kelantan di Tunjong.

"Ia mengambil kira pengalaman sebelum ini terutama banjir 2014 yang memerlukan helikopter bagi memindahkan mangsa-mangsa banjir di kawasan pedalaman, selain untuk membawa keluar pesakit mendapatkan rawatan kecemasan," katanya kepada pemberita selepas Program Kempen Keselamatan Kebakaran Majlis Keselamatan Aktiviti Air dan Latihan Berasaskan Komuniti, di sini, hari ini.

Selain itu, JBPM Kelantan juga akan membekukan cuti 1,300 pegawai dan anggotanya bermula awal bulan depan berikutan Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan kenyataan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula 24 Sept dan berterusan hingga awal November tahun ini.

Zainal berkata JBPM Kelantan juga akan mendapatkan bantuan sokongan daripada segi logistik dan keanggotaan dari negeri lain jika keadaan memerlukan, selain akan bekerjasama rapat dengan agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

-- BERNAMA