SIK: Dua lelaki bersama seorang wanita warga emas diselamatkan anggota bomba selepas terpaksa berpaut di atas sebatang pokok di Kampung Haji Abas, di sini, hari ini.

Komander Operasi Kanan Zon 3, Penguasa Bomba, Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.57 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat tiga mangsa terperangkap di atas pokok dan ketika itu arus deras di bawah.

“Komander Operasi telah menggerakkan sebuah jentera dan bot bagi operasi penyelamatan.

“Mangsa terperangkap di atas pokok selepas banjir kilat melanda kampung mereka pada awal pagi. Mangsa cuba keluar tetapi gagal, lalu memanjat pokok untuk berlindung,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohamad Sofi berkata, anggotanya terpaksa menggunakan tali dan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa dari kawasan terbabit.

Katanya, ketiga-tiga mangsa berjaya dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.