(Qatar ke separuh akhir selepas menang penentuan penalti 3-2)
Pasukan tuan rumah, Qatar, meneruskan misi untuk mempertahankan gelaran Piala Asia apabila layak ke separuh akhir dengan menewaskan Uzbekistan 3-2 dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Al Bayt awal pagi tadi.
Gol sendiri Utkir Yusupov meletakkan Qatar di depan pada minit ke-27 tetapi Uzbekistan kemudian menyamakan kedudukan menerusi jaringan Odiljon Hamrobekov pada minit ke-59 dan keputusan 1-1 itu kekal sepanjang 90 minit untuk mengheret aksi ke masa tambahan.
Dua bintang Qatar, Almoez Ali dan Almahdi Ali, kedua-duanya gagal dalam penentuan penalti untuk meletakkan Uzbekistan di depan 2-1 tetapi mereka kemudian gagal menyudahkan dua tendangan selepas itu untuk membenarkan Pedro Miguel menjadi wira Qatar ke separuh akhir dengan tendangan terakhir.
Qatar seterusnya akan berdepan pasukan pilihan utama, Iran -- yang menumbangkan Jepun 2-1 dalam satu lagi perlawanan -- bagi penentuan ke final, sehari selepas aksi Jordan menentang Korea Selatan.