GOLONGAN ibu tunggal di luar bandar Malaysia berupaya meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka ke tahap yang lebih baik melalui penghasilan yogurt dan kimchi.

Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri, Bioeconomy Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation), Nora Mohamed berkata, setakat ini, seramai 35 ibu tunggal diberi tunjuk ajar cara menghasilkan dua produk makanan yang berasal dari luar negara itu.

Menerusi Program Kembara Komuniti Bersama Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) itu, para peserta antara lain diberikan tunjuk ajar tentang penggunaan bahan segar seperti sayur-sayuran dan enzim rempah tempatan bagi menjaga keaslian kimchi buatan Malaysia. 

“Usaha pemberdayaan ibu tunggal dilaksanakan melalui pembelajaran sains yang memfokuskan teknologi penapaian dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penghasilan makanan khususnya pembuatan yogurt dan kimchi.

“Peserta juga diberi pendedahan keusahawanan bagi membolehkan mereka mencipta peluang pendapatan yang mampan,” katanya ketika meninjau program sehari itu di Dewan Orang Ramai Kampung Padang di Behrang, pada Khamis.

Foto: Bioeconomy Corporation


Tambah Nora, program sedemikian juga boleh membantu golongan ibu tunggal menghadapi cabaran yang biasa dihadapi dalam dunia keusahawanan, seperti keterbatasan akses latihan dan sumber serta kurang pengetahuan dalam keadah pengendalian, amalan kebersihan serta keselamatan makanan.

Selain itu, katanya, program berkenaan mewujudkan jaringan perhubungan antara peserta yang sedang meneroka peluang pasaran, dan pemain industri dengan memupuk hubungan komuniti serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

“Kami bercadang memperluas program ini ke kawasan lain yang menghadapi cabaran sosioekonomi serupa.

“Kami juga akan meneroka kerjasama dengan lebih banyak syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator untuk meningkatkan ketersediaan sumber dan sokongan kepada peserta,” katanya.