KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melontarkan cabaran kepada skuad hoki lelaki kebangsaan bahawa mereka wajib mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta, Indonesia pada 23 Mei hingga 1 Jun ini.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal percaya pasukan 'Malaysian Tigers' itu dapat mencapai sasaran berkenaan seterusnya menjamin slot automatik ke Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki 2023 dijadual berlangsung di Bhubaneswar dan Rourkela, India, dari 13-29 Jan tahun depan.

Subahan berkata sasaran itu dianggap realistik susulan kedudukan terkini skuad kendalian A. Arul Selvaraj yang muncul pasukan kedua terbaik Asia di belakang India.

"Mesti (layak separuh akhir)...kalau ikut atas kertas, kita mesti masuk separuh akhir dan menyertai Piala Dunia.

"Itu KPI (petunjuk prestasi utama) yang diletakkan kepada Arul dan pasukannya kerana kami yakin mereka dapat menamatkan di kedudukan empat teratas dan layak ke Piala Dunia," katanya dalam sidang media di majlis berbuka puasa bersama skuad kebangsaan di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Subahan berkata KHM sangat berpuas hati dengan prestasi dipamerkan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan biarpun menamatkan saingan di tempat ke-11 daripada 16 pasukan bertanding pada Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan, baru-baru ini.

Beliau turut menarik perhatian terdapat pihak luar yang kagum dan terkejut dengan bakat dimiliki pemain negara dalam kejohanan itu.

"Amat berpuas hati namun sedikit terkilan kerana diletakkan dalam kumpulan maut bersama Jerman dan India yang berjaya layak ke separuh akhir.

"Saya yakin kita boleh capai kedudukan lapan terbaik kalau diletakkan dalam kumpulan lain tetapi kami terima kerana ia membantu pemain meraih pengalaman," tambahnya.

Pasukan negara yang tersingkir daripada saingan kumpulan dengan merekodkan satu keputusan seri dan dua tewas meraih kedudukan ke-11 terbaik selepas menang bergaya ke atas Zimbabwe 7-2 pada perlawanan penentuan tempat ke-11 dan ke-12, Isnin lepas.

Malaysia kemudian berjaya meraih kemenangan pertama dalam kejohanan itu dengan menumpaskan Uruguay 2-1 pada perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga 16, Khamis lepas, namun tumbang 1-2 kepada Ireland dalam aksi klasifikasi kedudukan kesembilan hingga ke-12, pada Sabtu.

-- BERNAMA