Iran menewaskan Palestin 4-1 dalam perlawanan Kumpulan C, Piala Asia Qatar di Stadium Education City awal pagi tadi tetapi keseluruhan penyokong mereka turut memberikan sokongan buat Palestin.
Biarpun Iran jelas menguasai perlawanan sejak dari awal, atmosfera di bangku penonton pula bersatu menyokong Palestin berikutan serangan rejim Zionis ke atas tanah air mereka.
Penyokong Iran juga dilihat mengibarkan bendera Palestin di samping bendera mereka bahkan ada yang mengenakan baju dengan bendera separa Iran dan separa Palestin.
Perlawanan itu turut dimulakan dengan upacara bertafakur bagi memperingati mangsa kekejaman perang Israel-Hamas, yang ketika ini sudah memasuki hari ke-100.
Ia kemudian disusuli dengan laungan 'bebaskan Palestin' yang jelas kedengaran dari kawasan penonton.
Sebaik perlawanan bermula, juara tiga kali, Iran, tidak berdepan masalah untuk membuka jaringan seawal minit kedua menerusi penyudah Karim Ansarifard sebelum Shoja Khalilzadeh menggandakan kelebihan itu berselang 10 minit.
Mehdi Ghayedi menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-38 tetapi sorakan paling meriah dapat didengari ketika Tamer Seyam menjaringkan gol tunggal Palestin dalam waktu kecederaan babak pertama.
Sardar Azmoun kemudian menambah satu lagi gol buat Iran pada 10 minit pertama babak kedua untuk pasukan bimbingan Amir Ghalenoei itu memulakan kempen edisi ini dengan langkah kanan.