BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa kerajaan pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei lebih takutkan rakyatnya sendiri berbanding ancaman dari Israel.

Menurut Netanyahu, kerajaan Iran melaburkan banyak masa dan wang untuk memadamkan harapan rakyatnya dan menghalang impian mereka.

Beliau turut menyeru rakyat Iran agar tidak membiarkan impian mereka terpadam dengan menyatakan bahawa kerajaan perlu mendengar laungan "wanita, kehidupan, kebebasan" yang merujuk kepada pergerakan hak wanita di Iran.

Netanyahu menyatakan bahawa rakyat Iran tidak perlu hilang harapan kerana Israel dan negara-negara lain menyokong mereka.

Dalam mesejnya, Netanyahu merujuk kepada serangan peluru berpandu balistik oleh Iran ke atas Israel pada 1 Oktober lalu.

Serangan tersebut, katanya, menelan belanja sekitar AS$2.3 bilion daripada dana negara Iran tetapi hanya menyebabkan kerosakan kecil di Israel.

Israel telah bertindak balas terhadap Iran pada 26 Oktober.

Netanyahu sebelum ini pernah menyampaikan rayuan terus kepada rakyat Iran, juga kepada orang awam di Gaza dan Lubnan.

Beliau menyatakan kehidupan di Iran boleh berubah sekiranya negara itu bebas dan dana negara boleh digunakan untuk pendidikan, jalan raya, bekalan air, dan hospital, bukan untuk peperangan.

Menurutnya lagi, rejim Khamenei menafikan pembangunan ini kepada rakyatnya setiap hari kerana mereka lebih obses untuk menghancurkan Israel daripada memajukan Iran.

Netanyahu menegaskan bahawa beliau dan rakyat Israel tidak mahukan peperangan ini dan beliau percaya rakyat Iran juga enggan menerimanya.