PENGURUS Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, menyenaraikan 26 pemain ke kem latihan pusat Harimau Malaya menjelang temasya Pestabola Merdeka 2024 dengan mengekalkan seramai 18 pemain daripada 26 daripada skuad bagi dua perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebelum ini.

Lapan pemain baharu yang kembali disenaraikan ialah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Arif Aiman Mohd Hanapi, Romel Morales, Afiq Fazail, Azam Azmi Murad, Darren Lok, Harith Haiqal Adam Afkar dan Syafiq Ahmad dengan pemain akan menyertai latihan pusat bermula Khamis pada 29 Ogos 2024.

Antara nama yang mencuri tumpuan adalah pemain muda Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar, yang pertama kali mendapat panggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya.



Skuad negara bakal berdepan cabaran Filipina dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2024 dengan satu lagi perlawanan menyaksikan Lubnan menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 4 September.

Dalam pada itu, Juan Torres Garrido, diumumkan secara rasmi sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya, untuk membantu Pau Marti bermula dengan saingan Pestabola Merdeka bulan depan.  -- Stadium Astro