KUALA LUMPUR: Adakah Ketua Jurulatih baharu pasukan bola sepak negara, Pau Marti Vicente mampu melakar kemenangan pertama bersama skuad Harimau Malaya sepertimana yang dilakukan bekas 'bos' beliau, Kim Pan Gon?.

Selain menjawab persoalan itu, kemampuan Vicente membimbing sebuah pasukan kebangsaan juga akan mula diukur apabila Malaysia bertemu Filipina pada aksi separuh akhir saingan Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, esok.

Suratan atau kebetulan, tugasan pertama Vicente dan Pan Gon membimbing skuad negara adalah menentang pasukan Filipina.

Pan Gon yang dilantik pada awal 2022 membantu Malaysia menundukkan Filipina 2-0 pada aksi Siri Tiga-Negara Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) di Singapura pada Mac tahun berkenaan.

Kemenangan ke atas Filipina itu sekali gus memecahkan 'badi' seri tanpa jaringan kedua-dua pasukan dalam empat pertemuan terakhir sejak Jun 2012.

Di atas kertas, Vicente mempunyai peluang lebih baik untuk mencatat debut kemenangan pada perlawanan esok kerana kelebihan memihak kepada Malaysia yang menghuni ranking lebih baik iaitu di kedudukan 134 berbanding Filipina ke-147, selain faktor tuan rumah.

Filipina yang diberi julukan The Azkals juga menerima tamparan hebat menjelang pertemuan esok selepas pengendali pasukan itu, Tom Saintfiet meletakkan jawatan kurang seminggu sebelum perlawanan.

Di sebalik kemelut yang melanda skuad Filipina, Vicente lebih memberi fokus kepada pasukan sendiri walaupun tiada banyak perubahan dilakukan apabila seramai 18 daripada 26 pemain daripada skuad terakhir Pan Gon pada Jun lepas dikekalkan.

Lapan pemain baharu yang kembali disenaraikan antaranya ialah benteng pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dipinjamkan ke Terengganu FC Muhammad Azam Azmi Murad dan pertahanan muda berpotensi Selangor FC Harith Haiqal Adam Afkar untuk bergandingan bersama pemain senior seperti Dion Cools, La'vere Corbin-Ong, Matthew Davies dan Muhamad Feroz Baharudin.

Turut kembali memperkuat posisi serangan Harimau Malaya ialah pemain sayap sensasi JDT Arif Aiman Mohd Hanapi dan rakan sepasukan Romel Morales, penyerang Sabah FC Darren Lok dan penyerang Kedah Darul Aman FC Muhammad Syafiq Ahmad.

Berdasarkan kombinasi pemain yang dipilih Vicente kali ini, kemungkinan besar pengendali muda dari Sepanyol itu mahukan keupayaan bertahan dan menyerang yang seimbang, selain menekankan disiplin permainan yang tinggi sekali gus menampilkan corak permainan yang cantik dan berkesan.

Satu lagi aksi separuh akhir Pestabola Merdeka esok menemukan juara bertahan, Tajikistan dan Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil sementara final dijadual berlangsung pada Ahad di venue sama.

Vicente sebelum ini merupakan penolong kepada Pan Gon sejak 2022 dan dilantik sebagai ketua jurulatih susulan peletakan jawatan bekas 'bos' beliau pada Julai lepas.

Beliau yang pernah menjadi pembantu jurulatih pasukan Barcelona B dan skuad B-19 Barcelona diberikan masa hingga Disember ini untuk membuktikan keupayaan sebagai ketua jurulatih apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang mencari calon sesuai bagi mengisi tempat yang ditinggalkan Pan Gon.

Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak 12 kali selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2013.

-- BERNAMA