Hal ini kerana ia sering dilakukan oleh pasukan kebangsaan dan kelab antarabangsa.
Contohnya, kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United yang mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharunya Ruben Amorim ketika penyerang legenda mereka Ruud van Nistelrooy sedang membimbing The Red Devils sebagai jurulatih interim.
Situasi itu tidak melemahkan Van Nistelrooy yang meledak 150 gol bersama United apabila dalam tempoh singkat beliau telah membuktikan keupayaannya sebagai jurulatih apabila memenangi keseluruhan tiga perlawanan dan satu seri sebelum kehadiran Amorim.
Selepas mencatat kemenangan pertama 5-2 ke atas Leicester City dalam saingan Piala Liga, bekas penyerang Belanda berusia 48 tahun itu seri 1-1 berdepan Chelsea dalam perlawanan EPL, menewaskan PAOK 2-0 dalam aksi Liga Europa dan menundukkan Leicester City 3-0 dalam aksi EPL.
Berdasarkan rekod itu 'saham' Van Nistelrooy melonjak hingga dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Leicester.
Sementara itu, England turut mengumumkan pelantikan pengurus baharu mereka Thomas Tuchel ketika The Three Lions sedang 'sibuk' mengharungi kempen Liga Negara-Negara di bawah kendalian Lee Carsley selaku pengurus sementara.
Selepas pengumuman itu, Carsley yang merupakan ketua jurulatih skuad Bawah 21 Tahun England, terus mengemudi pasukan senior memenangi dua perlawanan masing-masing 3-0 menundukkan Greece dan membelasah Ireland 5-0.
Nasib Van Nistelrooy dan Carsley boleh dikatakan sama seperti yang sedang dilalui pengendali sementara pasukan negara Pau Marti Vicente apabila mereka perlu membimbing pasukan pada masa sama pelantikan ketua jurulatih baharu dibuat.
Perjalanan Van Nistelrooy dan Carsley seharusnya dijadikan panduan dan teladan kepada semua, terutamanya jurulatih baharu supaya lebih bersabar, kekal profesional, dan menghormati kontrak kerana setiap peristiwa pasti ada hikmahnya.
Bagaimanapun, dalam konteks Harimau Malaya, pengumuman pelantikan itu wajar dipertimbangkan untuk ditangguh hingga tamat kempen Piala ASEAN, bagi mengelakkan sebarang isu yang boleh mengganggu tumpuan skuad bimbingan Vicente dalam perjuangan mereka.
Semalam, Vicente mengakui tidak memahami keputusan 'pelik' FAM yang mengumumkan pelantikan jurulatih baharu Peter Cklamovski menjelang perlawanan 'hidup mati' berdepan Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A kejohanan dwitahunan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Kenyataan jurulatih dari Sepanyol itu mengundang kemarahan kebanyakan peminat terhadap FAM serta melabel keputusan pengumuman itu sebagai tidak menghormati pasukan dan barisan kejurulatihan, namun terdapat juga penyokong yang mempertahankan tindakan badan induk itu.
Cklamovski dari Australia menggantikan Vicente yang akan meninggalkan pasukan selepas kempen Piala ASEAN berakhir dijadualkan memulakan tugasnya 1 Jan depan dengan misi melayakkan pasukan ke Piala Asia 2027 dan melonjakkan ranking pasukan menghampiri 100 terbaik dunia.
Pada aksi tumpuan malam ini, Malaysia yang merupakan juara 2010 wajib menewaskan Singapura dan perlu mendapatkan jaringan besar untuk mencerahkan lagi peluang mengiringi juara bertahan Thailand ke separuh akhir.
Pasukan negara ketika ini menduduki tempat keempat, berkongsi empat mata dengan Kemboja di tempat ketiga manakala Singapura di tempat kedua dengan enam mata dan Thailand sudah mengesahkan slot ke pusingan kalah mati dengan sembilan mata.
Untuk rekod, perlawanan malam ini adalah ulangan pertemuan terakhir Kumpulan B edisi 2022, menyaksikan Malaysia menewaskan Singapura 4-1 di gelanggang sama untuk layak ke separuh akhir.
-- BERNAMA