Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menjanjikan ganjaran kepada kedua-dua pasukannya dalam Liga Super dan Liga Perdana sekiranya negeri itu berjaya menjulang Piala FA, 29 Jun ini.

Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata pasukan Johor FC dalam Liga Perdana dan Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam Liga Super akan menerima ganjaran setimpal dengan usaha dan kejayaan yang diraih mereka.

Johor DT akan menentang Kelantan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Walaupun Johor FC tidak bertanding tetapi mereka akan tetap menerima ganjaran kerana mereka juga pasukan saya," kata Tunku Mahkota Johor itu kepada pemberita selepas merasmikan majalah 'Harimau Selatan' di Persada Johor di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan Johor DT melangkah ke final Piala FA merupakan pencapaian yang terbaik yang disifatkan baginda sebagai peningkatan mendadak pasukan itu berbanding musim lalu.

Mengenai baki saingan Liga Super, Tunku Ismail berkata Johor DT akan cuba memberikan yang terbaik untuk merangkul gelaran Liga Super.

Beliau mengakui pertembungan Johor DT dengan pendahulu liga, Lions XII dari Singapura di Stadium Jalan Besar, Singapura, pada 20 Jun nanti bukan satu tugas yang mudah.

Selepas 18 perlawanan Liga Super, Johor DT kini menduduki tangga kedua dengan 34 mata di belakang Lions XII yang mengumpul 38 mata manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tempat ketiga dengan 33 mata.

Dalam saingan Liga Perdana, Johor FC menduduki tempat ketiga dengan 39 mata selepas 19 perlawanan di belakang pendahulu liga, Sarawak, yang mengumpul 49 mata diikuti kelab Sime Darby dengan 45 mata.