PARIS: Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, ibarat masih dalam mimpi selepas membuat penampilan sulungnya dalam Sukan Olimpik di Paris hari ini.

Bagaimanapun, mimpi itu hampir bertukar ngeri saat dia ketinggalan 16-19 dalam set pertama menentang wakil Afrika Selatan, Johanita Scholtz.

Deuce juga sengit tetapi siri kesilapan sendiri daripada Scholtz dimanfaatkan sepenuhnya Jin Wei untuk merekodkan kemenangan 23-21 dan seterusnya 21-11 dalam set kedua.

"Memang saya agak 'down' tetapi saya kena positif kerana perlawanan masih belum tamat dan segalanya boleh berlaku," katanya kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.

"Tidak kisah siapa lawan saya, saya perlu fokus dengan pukulan saya sendiri terlebih dahulu."

Bagi Jin Wei, impiannya menjadi kenyataan untuk beraksi dalam Sukan Olimpik selepas menjalani pembedahan usus besar pada 2019 dan kemudian melalui persaraan sementara tetapi ia tidak wajar dijadikan satu keraian buat ketika ini.

Sebaliknya, dia mahu terus fokus untuk penentuan tiket ke pusingan seterusnya dengan menentang wakil Korea Selatan, Kim Ga-eun pada Rabu ini.

"Saya tidak pernah menjangkakannya. Sedikit demi sedikit, akhirnya saya sampai di sini.

"Saya tidak jangka masih dapat bermain dan terus menggapai impian saya di sini tetapi saya tidak akan meraikannya lagi.

"Tugas saya masih belum selesai dan saya perlu terus fokus untuk perlawanan seterusnya," tambahnya.