KUALA LUMPUR: Selepas berjaya mengumpul dua pingat emas, atlet para olahraga Johor Ahmad Fizzi Rosni menyasarkan untuk meraih emas peribadi ketiganya, pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Atlet berusia 22 tahun itu bermotivasi tinggi meneruskan momentum cemerlang ketika turun beraksi dalam acara 200m Lelaki T35/T36 hari ini, selepas mencuri tumpuan dengan mengungguli saingan 100m dan 400m kelas yang sama sebelum ini.

Beliau yang berasal dari Tampoi, Johor berkata emas kedua yang diraihnya semalam menerusi acara 400m Lelaki T35/T36, secara tidak langsung memberinya keyakinan untuk merangkul emas ketiga biarpun menyedari bakal ditentang hebat lawan.

"Saya sangat bersyukur dapat emas satu lagi, semua ini berkat pertolongan semua pihak terutama keluarga, jurulatih dan cikgu, inilah hasilnya. Insya-Allah kalau ada rezeki saya memang nak emas ketiga, tapi cabaran susah kerana ada ramai pelari hebat dan otai, saya akan cuba terbaik," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Pada saingan final semalam, beliau mengesahkan kejayaan meraih emas dengan catatan 60.46 saat (s) sementara atlet Kedah Mohamad Sobri Ghazali di tempat kedua (66.66s) dan wakil Sabah Nelson Sevilin ketiga dengan masa 68.24s.

Dalam acara 100m Lelaki T35/T36 yang berlangsung Khamis, Ahmad Fizzi merekodkan kepantasan 13.15s untuk merangkul emas Para Sukma pertamanya, selepas membawa pulang dua perak dan satu gangsa pada edisi 2018 di Perak.

Ahmad Fizzi disebut-sebut sebagai pengganti jaguh para olahraga kebangsaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau lebih dikenali sebagai 'Dik Wan' kerana potensi yang dimiliki.

-- BERNAMA