KUCHING: Jika sebelum ini Badrul Hisam Musa banyak merujuk video daripada YouTube untuk mengasah teknik balingannya, kini atlet para olahraga Johor itu mendapat tunjuk ajar secara langsung daripada jaguh negara Muhammad Ziyad Zolkefli.

Badrul Hisam bukan sahaja merangkul emas Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 menerusi acara lontar peluru lelaki F12 (kecacatan penglihatan) malah lebih membanggakan beliau memecahkan rekod temasya miliknya sendiri sebanyak tiga kali pada hari pertama olahraga di Stadium Sarawak, di sini.

Atlet berusia 31 tahun itu memadamkan rekod yang dilakukan pada edisi 2022 iaitu 9.70 meter (m) dengan catatan 11.36m pada percubaan pertama diikuti 11.38m (percubaan ketiga) dan 11.85m (percubaan kelima).

Beliau berkata kata-kata semangat diberikan Muhammad Ziyad sewaktu sesi latihan banyak memberikan inspirasi kepadanya apatah lagi dengan kejayaan rakan sepasukannya yang menyambar perak lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024, baru-baru ini.

"Dia banyak beri nasihat kepada saya untuk berusaha keras dan berkorban masa dan tenaga jika mahu lebih cemerlang. Pada sesi latihan pun dia sering ajar teknik lontaran yang lebih baik," katanya kepada Bernama.

Bukan itu sahaja, Badrul Hisam berkata prestasinya juga kian meningkat sejak mendapat bimbingan jurulatih Muhammad Ziyad, Mohd Faizol Harun, bermula tahun lepas.

"Sebelum ini saya memang tengok Youtube sahaja namun sejak setahun lepas saya dapat peluang berlatih dengan jurulatih Mohd Faizol. Terima kasih kepadanya sebab banyak juga bantu baiki prestasi saya," katanya.

Justeru, beliau berharap dapat mengekalkan momentum untuk mengintai emas pada Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand selepas membawa pulang perak dari Kemboja edisi lepas selain berhasrat mewakili negara pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

Sementara itu, lontaran yang dilakukan Badrul Hisam jauh meninggalkan Mohamad Firdaus Ngatiman, juga dari Johor, yang meraih perak (8.98m) dan gangsa milik wakil tuan rumah, Hafiz Puini (5.22m).

Dalam pada itu, Sarawak membolot kesemua pingat ditawarkan dalam acara lempar cakera lelaki F41 (kecacatan fizikal) dengan Richard Bada mengungguli saingan menerusi catatan 25.53m.

Richard mengakui lega dapat mengatasi perasaan gementar dan membanggakan negeri kelahirannya selain mendedikasikan kejayaan untuk seluruh ahli keluarga atas sokongan padu sejak mula bertanding di temasya dwitahunan tersebut pada edisi 2016 di sini.

Pingat perak dimenangi Teckman Mary (20.57m) dan Abdullah Syawal Majarol pula memperoleh gangsa (17.55m).

-- BERNAMA