Skuad bimbingan Paul Revington gagal memulakan saingan Liga Dunia dengan langkah kanan, apabila sekadar seri empat sama berdepan Pakistan pada aksi Kumpulan B di Stadium Hoki Taman Daya malam tadi.

Meskipun mendahului 3-1 pada babak pertama,Pakistan bangkit menafikan kemenangan negara.

Malaysia mendahului 2-0 dalam tujuh minit pertama perlawanan, menerusi dua pukulan sudut penalti yang disempurnakan Razie Rahim pada minit ketiga dan ketujuh perlawanan.

Marhan Jalil kemudian meledak jaringan ketiga, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-20.

Sembilan minit sebelum tamat babak pertama, Pakistan meraih jaringan pertama pada minit ke-26.

Barisan negara kemudian meneruskan corang menyerang pada babak kedua dan berjaya mendahului, tiga minit selepas perlawanan bersambung menerusi jaringan padang Firhan Ashaari.

Ketinggalan 4-1 tidak melunturkan semangat Pakistan, malah mereka mula meningkatkan tempo permainan untuk menjelmakan kebangkitan.

Kebangkitan Pakistan bermula dengan jaringan Muhammad Tausiq pada minit ke-42.

Shakeel Abasi kemudian meraih jaringan ketiga, apabila menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-56.

Kapten Pakistan, Muhammad Imran kemudian memastikan satu mata, apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-61.