Dalam saingan tersebut, Nurul Izzah dilihat sedikit terkepung di dalam kelompok pelumba, sekali gus menyaksikan dia terpaksa akur menamatkan aksi di kedudukan ketiga.
Hanya dua pelumba terpantas daripada pusingan tersebut layak ke suku akhir iaitu pelumba dari Kanada, Kelsey Mitchell dan Katy Marchant dari Great Britain.
Sebelum itu, Nurul Izzah mengakhiri saingan awal keirin di tempat keempat dan tidak layak secara automatik ke suku akhir.
Dalam pusingan pertama saringan kelima, Nurul Izzah terpaksa bersaing dengan jaguh dunia lain seperti wakil dari Britain Emma Finucane dan Lea Friedrich (Jerman).
Nurul Izzah yang membuat penampilan sulung di Olimpik memulakan kempennya dalam acara keirin wanita, manakala kategori pecut individu wanita akan bermula Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Datuk Azizulhasni Awang pula mara ke pusingan kedua acara pecut lelaki apabila mengatasi wakil Jerman, Luca Spiegel di pusingan pertama.
The Pocket Rocketman itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk memenangi saringan ke-10 dengan catatan 9.885 saat (s), sekali gus melayakkan jaguh berbasikal trek negara itu untuk bersaing pada pusingan 1/16 yang dijadual 11.30 malam ini.
Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sharom terpaksa bersaing dalam pusingan repechage apabila tewas kepada Mikhail Iakovlev pada pusingan pertama.