PEMAIN tenis terkenal antarabangsa, Novak Djokovic mendakwa, dia telah "diracun" melalui makanan yang dijamu kepadanya ketika ditahan semasa kontroversi visanya semasa menyertai Kejohanan Terbuka Australia 2022, menurut wawancara dengan GQ yang diterbitkan pada Khamis.

Pemenang 24 gelaran Grand Slam yang berasal dari Serbia itu turut mendakwa, visanya telah dibatalkan sebelum kejohanan selepas beberapa hari drama mengenai peraturan kemasukan COVID-19 Australia dan statusnya yang tidak divaksin.

Kata Djokovis, dia ditahan di sebuah hotel di Melbourne yang turut didiami oleh pencari suaka.

"Saya sedar bahawa di hotel di Melbourne itu, saya diberi makanan yang mempunyai racun," kata Djokovic, yang terkenal dengan pemantauan ketat terhadap dietnya.

"Saya menemui beberapa fakta selepas kembali ke Serbia. Saya tidak pernah memberitahu sesiapa perkara ini secara terbuka, tetapi saya dapati tahap logam berat dalam badan saya sangat tinggi. Logam berat seperti plumbum dan merkuri berada pada tahap yang sangat tinggi."

GQ melaporkan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia enggan mengulas perkara tersebut atas alasan dakwaan itu bersifat peribadi.

Djokovic turut memberitahu akhbar Herald Sun Melbourne minggu ini, dia masih mengalami trauma akibat pengalaman tersebut tiga tahun lalu dan berasa tertekan apabila tiba di lapangan terbang di bandar itu.

Pemain berusia 37 tahun itu akan memulakan kempen untuk mencatat rekod gelaran Grand Slam ke-25 pada Terbuka Australia minggu depan. - Reuters