Skuad ‘Super Eagles’ itu layak berikutan kekalahan wakil Asia, Iran kepada Bosnia-Herzegovina dalam satu lagi perlawanan Kumpulan F di Arena Fonte Nova di Salvador.
Argentina bagaimanapun membuka jaringan seawal minit ke-3 melalui penyerang sensasi mereka, Lionel Messi sebelum penyerang Nigeria, Ahmed Musa menyamakan kedudukan seminit kemudian.
Lionel Messi dari Argentina sedang dikejar pemain Nigeria, Ogenyi Onazi - Foto AP
Lionel Messi sekali lagi meledak untuk gol kedua Argentina pada masa kecederaaan separuh masa pertama.
Perlawanan turut dibelenggu dengan masalah kecederaan yang menimpa penyerang Manchester City, Sergio Aguero yang terpaksa dikeluarkan pada minit 38 separuh masa pertama dan digantikan dengan Ezequiel Lavezzi.
Malah, Nigeria juga kehilangan pemain tengahnya, Michael Babatunde yang dipercayai patah tangan apabila terkena bola yang ditendang oleh rakan sepasukan Ogenyi Onazi dan beliau digantikan oleh Michael Uchebo.
Bermula pada babak kedua, Nigeria memperkemaskan serangan dan akhirnya Ahmed Musa sekali lagi menyamakan kedudukan kepada 2-2 pada minit ke 47.
Namun, kealpaan pertahanan Nigeria dihukum apabila Marcos Rojo menjadi pemusnah kepada skuad kendalian Stephen Keshi itu apabila menjaringkan gol ketiga.
Keputusan 2-3 itu kekal sehingga sehingga wisel penamat.
Sementara itu, Bosnia-Herzegovina akhirnya mencatatkan kemenangan pertama dalam kempen sulung Piala Dunia negara itu apabila membenam cabaran wakil Asia, Iran dengan kemenangan 3-1.
Iran yang memerlukan kemenangan menentang skuad dari Balkan itu nampaknya dipaksa sekali lagi bermain secara bertahan apabila Bosnia-Herzegovina melakukan serangan bertubi-tubi ke gawang Iran.
Pemain-pemain Iran, Jalal Hosseini (kiri) dan Andranik Teymourian (kanan). Foto AP
Edin Dzeko memecah kebuntuan jaringan dengan menjaringkan gol pertama Bosnia-Herzegovina sebelum pemain tengah AS Roma, Miralem Pjanic melebarkan kedudukan buat Bosnia-Herzegovina kepada 2-0.
Namun, Iran akhirnya membuka jaringan sulung dalam kempen Piala Dunia ini apabila penyerang Reza Ghoochannejhad cuba merapatkan kedudukan buat Iran namun kedudukan itu dimusnahkan oleh pemain tengah, Avdija Vrsajevic.
Kedudukan tersebut kekal hingga wisel penamat dan Nigeria akan bertemu Perancis manakala Argentina pula akan berentap dengan Switzerland di pusingan kalah mati nanti.
PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Ahmed Musa (Nigeria) dan Miralem Pjanic (Bosnia-Herzegovina).