KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) melangkah lebih jauh apabila bakal melancarkan buku Braille Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Kod Klasifikasi Atlet khas untuk atlet yang mempunyai masalah penglihatan.

Penerbitan buku itu akan diusahakan bersama Kuala Lumpur Braille, yang diasaskan oleh seorang peguam juga bekas Exco MPM Datuk Mah Hassan Omar selain turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pendidikan.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin menegaskan buku itu amat penting kepada semua komuniti atlet bermasalah penglihatan bagi memastikan mereka memahami sistem klasifikasi dengan tepat.

"Masalah penglihatan tertakhluk kepada banyak kategori atau klasifikasi yang berbeza untuk pelbagai Sukan Paralimpik. Buku braille ini adalah langkah tepat untuk mereka lebih tahu syarat proses klasifikasi dan kelayakan jenis acara yang mereka boleh tandingi.

"Sebelum ini mereka hanya mendengar taklimat klasifikasi tetapi selepas ini semua atlet akan lebih memahami. Ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi dan buku Braille Kod Klasifikasi ini bakal menjadi yang pertama diterbitkan di Malaysia malah dunia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Buku itu juga akan diedarkan kepada IPC dan Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan negara lain sebagai rujukan.

-- BERNAMA