Atlet kelahiran Segamat, Johor itu berkata sukan itu kini lebih dikenali terutamanya selepas beliau membuktikan bahawa Malaysia mampu memberi tentangan pingat di temasya sukan terbesar dunia itu.
"Saya tak dapat pingat pun saya tengok pandangan orang ramai terhadap sukan ini sudah berbeza sekarang.
"Saya gembira sebab orang sudah nampak sukan angkat berat ini antara sukan yang boleh jadi pencabar pingat di Olimpik," katanya kepada pemberita di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Paris hari ini.
Mohamad Aniq turut berazam untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang digeruni dalam sukan angkat berat di persada antarabangsa.
"Saya mahu buktikan perkara itu di Kejohanan Dunia tahun depan, mana tahu di Olimpik Los Angeles boleh dapatkan pingat juga," katanya.
Mohamad Aniq menamatkan kempen di Paris pada tempat keempat dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan mencatatkan rekod kebangsaan baharu angkatan keseluruhan 297 kg iaitu 1 kg mengatasi rekod kebangsaan miliknya sebelum ini.
Li Fabin dari China mempertahankan pingat emas dengan jumlah angkatan 310 kg manakala perak menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan 303 kg manakali wakil Amerika Syarikat Hampton Morris melakukan angkatan 298 kg iaitu hanya berbeza 1 kg dengan Mohamad Aniq.
-- BERNAMA