PARIS: Badang negara menggambarkan betapa kecewanya beliau apabila terlepas peluang meraih pingat dengan perbezaan satu kilogram (1kg) berbanding mengalami kekalahan teruk.

Reaksi itu dikongsi Mohamad Aniq Kasdan apabila terlepas penamat podium dalam acara angkat berat kategori 61kg lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.

Mohamad Aniq, yang bakal beraksi di Kejohanan Komanwel 2024 di Fiji pada 17 hingga 24 Sept depan, berjanji untuk terus menampilkan prestasi terbaik bagi meraih pingat dalam kejohanan akan datang.

Terdahulu, Mohamad Aniq menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan rekod kebangsaan baharu iaitu angkatan keseluruhan 297kg, 1kg mengatasi rekod kebangsaannya.

Li Fabin dari China mempertahankan pingat emas dengan jumlah angkatan 310kg (143kg OR, 167kg)) manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan muatan 303kg (132kg, 171kg) dan wakil Amerika Syarikat Hampton Morris dengan angkatan 298kg (126kg, 172kg).

Sementara itu, pengurus pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk lakukan percubaan 174kg kerana berdasarkan rekod sememangnya Morris, pemegang rekod dunia (176kg) mampu mengatasi Mohamad Aniq untuk pingat.

"Namun, saya sangat berpuas hati kerana Aniq masih muda. Ini adalah satu daripada kategori baharu untuk beliau selepas hanya setahun lepas tukar daripada kategori 55kg (yang tiada dalam Olimpik). Jika digilap dengan betul, beliau mampu menghadirkan saingan lebih baik.

"Cuma, kita berharap beliau lebih konsisten selepas ini untuk mencabar pingat dalam temasya dan kejohanan utama," katanya.

-- BERNAMA