BETONG: Badang Wilayah Persekutuan Mohamad Syahmi Nor Ghazali memasang impian untuk mengikut jejak Mohamad Aniq Kasdan beraksi di pentas Olimpik.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata beliau tidak akan berhenti berusaha untuk ke peringkat lebih tinggi dalam sukan angkat berat.

"Matlamat saya adalah untuk beraksi di Sukan SEA, Komanwel dan kalau ada rezeki saya nak ke Olimpik macam Aniq," katanya ketika ditemui hari ini.

Mohamad Syahmi memastikan pingat emas menjadi miliknya hari ini dengan angkatan keseluruhan 302 kilogram (kg) menewaskan wakil Perak Muhammad Irfan Haziq dengan catatan 295kg bagi kategori 89kg lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) hari ini.

Gangsa dimenangi atlet Perlis, Muhammad Aizul Hafizi Mansor selepas merekodkan angkatan berjumlah 246kg.

Mohamad Syahmi berkata dia berasa sebak kerana pernah berjanji kepada neneknya untuk menang di SUKMA, namun Allahyarham Rogayah Ahmad tidak dapat melihat kejayaan hari ini kerana meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 2019.

"Saya pernah janji kepada arwah wan (nenek) untuk menang SUKMA dan saya berjaya lakukan. Emas ini adalah untuk wan saya," katanya.

Dalam pada itu, kategori 64 kg wanita menyaksikan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023, Nur Syazwani Radzi dari Kedah menepati ramalan apabila mengungguli acara itu dengan angkatan keseluruhan 180kg.

Qisvena Abdullah dari Johor membawa pulang pingat perak dengan angkatan keseluruhan 156 kg manakala Balqis Syakirah Badrol Hisham dari Perak melengkapkan kedudukan podium selepas mengangkat bebanan berjumlah 145kg.

Bagi kategori 71kg wanita, atlet Terengganu Nur Alissa Sofea Mohamadnor Wardi mengungguli acara itu dengan jumlah angkatan 166kg manakala perak dimenangi atlet Pahang, Marsyahirazawati Mohd Rais dengan dibezakan jumlah angkat hanya 1kg.

Gangsa diraih wakil Perlis Dhiya 'Raihan Zulkarnain dengan jumlah angkatan terkumpul 162kg.

-- BERNAMA