KUCHING: Tuan rumah mengungguli carta kutipan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan mengumpul keseluruhan lapan emas setakat 10 malam tadi.

Sarawak dengan semangat 'Agi Idup Agi Ngelaban' mengumpul keseluruhan lima emas semalam dengan tiga daripadanya menerusi taekwondo dan masing-masing satu dalam tenpin boling berpasangan wanita serta wushu.

Stephanie Ngu Chai Ern muncul penyumbang terbanyak emas kontinjen Sarawak apabila meraih satu lagi pingat semalam dalam acara qiangshu yang juga koleksi ketiganya pada temasya kali ini.

Mengekori rapat tuan rumah ialah Melaka dengan tujuh emas manakala Wilayah Persekutuan di kedudukan ketiga dengan enam emas.

Naib juara edisi lepas Terengganu pula di tempat keempat manakala Pulau Pinang di tangga kelima.

Hari ini, sebanyak 23 pingat emas menjadi rebutan sebelum berlangsungnya upacara perasmian SUKMA 2024 di Stadium Sarawak pada 8.30 malam.

-- BERNAMA