IPOH: Cadangan agar skuad bola sepak Perak Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 diserahkan  kepada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata sebarang keputusan berkaitan cadangan itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut.

"Perkara ini telah disentuh oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad agar mempersiapkan skuad bola sepak bagi SUKMA 2026 di Selangor nanti supaya persiapan awal dapat dilaksanakan kerana ia projek jangka panjang.

"Namun bagi kerajaan negeri jika PAFA diberikan tanggungjawab ini, maka persatuan bukan hanya tertumpu kepada skuad SUKMA sahaja tetapi turut membangunkan bola sepak peringkat akar umbi," katanya dalam sidang media selepas Majlis Makan Malam dan Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Liga Perak Sejahtera 2024/2025 di sini malam tadi.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar dan turut dihadiri Presiden PAFA Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Khairudin berkata aspek pembangunan pemain akar umbi perlu diberi perhatian oleh PAFA bagi mengembalikan semula kegemilangan pasukan Perak sebagai pasukan digeruni dalam arena bola sepak negara.

"Pembangunan itu termasuklah bola sepak peringkat sekolah, bola sepak wanita serta pembangunan kelab-kelab bola sepak amatur dan kelab ahli gabungan di Perak.

"Kita mahu proses pembangunan ini berpanjangan supaya sentiasa mempunyai pelapis bagi setiap peringkat umur tertentu agar kita sentiasa bersedia dan mempunyai wakil yang kuat," katanya.

Mengulas lanjut mengenai persiapan Program Belang Tarung Tiga Warna – Extended Versions 2.0 2025 sempena persiapan menuju SUKMA 2026 di Selangor, pihaknya akan menumpukan kepada 28 sukan utama yang akan dipertandingkan.

"SUKMA 2024 di Sarawak kita hantar 262 atlet yang masih lagi layak bertanding di Selangor nanti melibatkan 132 atlet lelaki dan 130 wanita yang akan menjadi teras kepada pemilihan atlet Program Belang Tarung Tiga Warna 2.0 ini.

"Kita akan tumpu kepada sukan akuatik, memanah, menembak, olahraga, karate dan silat termasuk atlet wanita dalam sukan ragbi, bola sepak dan futsal yang dilihat mampu memberi sumbangan pingat kelak," katanya.


-- BERNAMA