Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta pasangan yang berada di ranking kelima dunia itu tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan straight set 21-13, 23-21.
Pilihan kedua kejohanan itu akan bertemu sama ada rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi atau Lu Ming Che-Tang Kai Wei dari Taiwan bagi perebutan tiket ke suku akhir.
Turut mara ke pusingan kedua hari ini beregu lelaki negara meningkat naik, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang mencipta kejutan apabila menyingkirkan pasangan nombor tujuh dunia dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.
Pasangan di ranking ke-20 dunia itu mempersembahkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan 21-17, 21-19.
Wan Arif-Roy King dijangka berdepan pemenang satu lagi perlawana pusingan pertama melibatkan beregu berpengalaman tuan rumah, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan menentang Chiang Chien Wei-Wu Yi Hsuan dari Taiwan.
Sementara itu, dua lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.
Wei Chong-Kai Wun lolos ke pusingan seterusnya selepas menumpaskan pasangan China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Ju 21-19, 21-14 manakala Hang Yee-Eng Cheong menundukkanwakil tuan rumah Rahmat Hidayat-Yeremiah Rambitan dari Indonesia 21-14, 19-21, 21-18.
Dalam pada itu, saingan beregu wanita menyaksikan pasangan negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mengejutkan pasangan ranking ke-17 dunia dari Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Cien Hui 21-16, 22-20.
-- BERNAMA