MANCHESTER CITY 3 BRIGHTON & HOVE ALBION 0

Gol dalam babak kedua daripada Riyad Mahrez, Phil Foden dan Bernardo Silva kembali meletakkan Manchester City di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Brighton and Hove Albion 3-0 di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Liverpool buat sementara memintas City di tangga teratas selepas membelasah Manchester United 4-0 awal pagi semalam tetapi 24 jam kemudian, pasukan bimbingan Pep Guardiola itu memastikan nasib mereka kekal di tangan sendiri dalam perebutan kejuaraan musim ini.

Pecubaan terbias Mahrez dan Foden, masing-masing pada minit ke-53 dan 65, memastikan pasukan juara bertahan itu mendahului selesa di laman sendiri sebelum Silva menambah satu lagi jaringan pada minit ke-82.

Kemenangan itu juga menyaksikan City kembali berkelebihan satu mata di depan The Reds berbaki enam perlawanan liga selepas tewas kepada pasukan kendalian Jurgen Klopp itu dalam separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu.

City sebelum ini gagal menemui kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir tetapi kali ini, mereka kelihatan sudah kembali menemui aksi sebenar bagi meneruskan pemburuan gelaran EPL dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Mereka seterusnya akan bertemu Watford di Stadium Etihad pada Sabtu ini manakala Liverpool pula akan bertemu seteru setempat, Everton, sehari kemudian.