Liverpool berjaya menewaskan Southampton dengan keputusan 2-0, sekaligus membawa pulang tiga mata penuh ketika bertandang ke Stadium Saint Mary di sini, malam tadi.

Southampton akur untuk jatuh satu anak tangga liga apabila tewas ketika berdepan The Reds yang kini selesa memperkukuhkan kedudukan di tangga keenam.

Bermula dengan berhati-hati, Southampton berazam untuk menang namun Liverpool tangkas untuk mendapatkan gol pertama perlawanan seawal minit ketiga menerusi Philippe Coutinho yang dibantu oleh Lazar Markovic.

Tuan rumah menggandakan asakan untuk menyamakan kedudukan namun benteng Liverpool terlalu ampuh untuk dibolosi.

Masuk babak kedua permainan, Southampton bermula dengan garang dan kelihatan menguasai permainan , namun beberapa percubaan dinafikan pihak lawan.

Bertambah malang buat skuad kendalian Ronald Koeman ini apabila Raheem Sterling menjelmakan gol kedua buat Liverpool pada minit ke-78.

Perlawanan berakhir dengan Liverpool menang ke atas Southampton 2-0.