MOSCOW: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach pada Sabtu berkata kebencian dan serangan terhadap petinju Algeria, Iman Khelif yang gagal ujian jantina tahun lepas tidak boleh diterima dan menegaskan bahawa atlet itu sentiasa merupakan seorang wanita, lapor Sputnik.

Pada 1 Ogos, petinju wanita Itali, Angela Carini menyerah kalah selepas 46 saat dalam perlawanan pusingan 1/8 menentang Khelif, dan mengumumkan bahawa beliau akan menamatkan kerjaya tinjunya pada hari berikutnya.

IOC meluluskan penyertaan Khelif dalam kejohanan tinju wanita Olimpik walaupun petinju itu tidak layak bertanding pada Piala Dunia 2023 kerana gagal ujian kelayakan jantina dan Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) mendapati kehadiran kromosom XY dan tahap testosteron yang tinggi dalam tubuhnya.

"Untuk menghentikan (serangan itu lebih bergantung kepada anda, daripada kami ... kami bercakap tentang tinju wanita. Kami mempunyai dua petinju, yang dilahirkan sebagai wanita. Kedua-duanya dibesarkan sebagai wanita, mempunyai pasport sebagai wanita dan telah bertanding selama bertahun-tahun sebagai wanita .

Kami sedia mendengar, kami sedia meneliti perkara ini, tetapi kami tidak akan mengambil bahagian dalam perang budaya yang bermotifkan politik ... apa yang berlaku dalam konteks ini di media sosial dengan semua ucapan kebencian, dengan serangan dan penyalahgunaan ini, dan didorong oleh agenda ini, adalah tidak boleh diterima sama sekali," kata Bach semasa sidang akhbar.

--BERNAMA-SPUTNIK