Kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hari ini secara rasmi melancarkan jersi baharu pasukan itu bagi musim 2021.

Kit pasukan baru itu juga turut memaparkan Widad Langkasuka sebagai penaja utama pasukan bagi musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, jersi pasukan KDA FC akan dipakai untuk tiga kejohanan musim ini iaitu Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Piala AFC.

Katanya, jersi 'home' pasukan KDA FC berwarna tradisi hijau dan kuning manakala jersi 'away' berwarna hijau dan merah.

Katanya, jersi 'home' pasukan KDA FC berwarna tradisi hijau dan kuning manakala jersi 'away' berwarna hijau dan merah. - Foto KDA FC


Widad Langkasuka (Widad Business Group) pula diumumkan selaku penaja selama setahun.

“Keyakinan pihak pengurusan untuk bekerjasama dengan Widad Business Group terus mendapat perhatian dengan penglibatan dalam bidang pengurusan kemudahan bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala penaja bersama KDA FC yang telah menyokong saban tahun adalah Menteri Besar Kedah Incroporated (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Bagi penajaan pakaian sukan pula, KDA FC turut berkerjasama dengan Lotto Malaysia oleh Prestige Sports Sdn. Bhd. dan Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd melibatkan pengeluaran kelengkapan pasukan dalam tiga pertandingan utama di Malaysia dan Asia.

"KDA FC turut memeterai perjanjian penajaan bersama Cosmic Express sebagai pengangkutan rasmi selama setahun.

"Selain dari penyediaan pengangkutan pasukan ke semua venue perlawanan di Malaysia, Cosmic turut memberi komitmen tinggi dengan menyediakan bas khas bertema Hijau kuning khusus untuk pasukan KDA FC sebagai kegunaan rasmi pasukan ketika pertandingan berlangsung,” menurut kenyataan itu lagi.

KDA FC akan memulakan saingan liga dengan perlawanan pembukaan Piala Sumbangsih bertemu juara Liga Super tujuh kali berturut turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang penuh ikonik, Stadium Sultan Ibrahim pada 5 Mac ini.