Mohamed Syamer yang diturunkan dalam kesebelasan utama sebelum digantikan dengan Natxo Insa pada babak kedua perlawanan berkata pasukan telah memberikan segalanya ketika bertahan mahupun menyerang sepanjang 90 minit permainan di Stadium Jassim Bin Hamad itu.
Namun, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata nasib lebih memihak Bahrain yang berjaya menemukan jaringan pada minit-minit akhir masa kecederaan babak kedua untuk mengesahkan kemenangan dalam pertemuan sulung kedua-dua pasukan itu di pentas Piala Asia.
"Memang nasib tak baik, kita bolos pada minit akhir tetapi ini lah bola sepak. Kami sudah bagi sehabis baik untuk 90 minit. Walaupun dalam perlawanan ini kami banyak bertahan, kami tetap ada buat serangan balas.
"Mereka (Bahrain) pasukan yang lagi baik tetapi kita bermain sebagai satu pasukan dan gol lewat itu 'membunuh' kami," kata pemain berusia 27 tahun berkenaan ketika ditemui selepas perlawanan di sini.
Kekalahan itu yang merupakan kekalahan kedua skuad bimbingan Kim Pan Gon pada kempen kali ini menyaksikan Malaysia tersingkir daripada saingan sekali gus gagal mencapai sasaran untuk mencipta sejarah melangkah ke pusingan 16 terbaik, namun Mohamed Syamer mahu melihat ia dari sudut positif.
"Apabila kita tak capai sasaran, akan sentiasa ada sesuatu untuk kita belajar dan perbaiki bagi masa akan datang," katanya sambil mengakui aksi menentang Bahrain merupakan perlawanan yang sukar dan pasukan tampil dengan pendekatan taktikal berbeza berbanding ketika bertemu Jordan, Isnin lepas.
Mohamed Syamer antara empat pemain yang berhenti untuk bercakap dengan media Malaysia selepas perlawanan itu selain penyerang naturalisasi Paulo Josue dan dua pemain warisan iaitu Natxo Insa dan Stuart Wilkin.
Baki pemain skuad Harimau Malaya terutama yang diturunkan malam tadi menolak untuk ditemu ramah antaranya penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi dan pemain pertahanan tengah Dion Cools.
Sementara itu, Josue berkata pasukan perlu mengambil iktibar dan belajar sebanyak mungkin daripada kejohanan ini untuk lebih bersedia bersaing pada edisi seterusnya.
"Saya rasa penting bagi Malaysia untuk berada di sini dan memahami tentang kejohanan ini, betapa sukarnya kejohanan, fahami padang (kondisi), pihak lawan. Untuk pemain yang akan beraksi lagi (edisi seterusnya), sudah tiba masanya belajar dan berjuang bagi kejohanan seterusnya.
"Melalui lebih banyak pengalaman dan pemahaman lanjut tentang kejohanan, mereka mampu meningkat lebih baik," kata pemain Kuala Lumpur (KL) City FC yang berusia 35 tahun itu.
Josue turut tidak merasakan Pan Gon bertanggungjawab sepenuhnya selepas pengendali Korea Selatan itu menyalahkan dirinya susulan kegagalan membawa pasukan ke peringkat kalah mati.
"Kita perlu harungi bersama-sama... kita kalah dan menang bersama-sama. Kita mempunyai barisan kejurulatihan yang hebat yang menganalisis segala-galanya, beri kita maklumat terkini dan setiap orang perlu memikul tanggungjawab. Kita perlu teruskan usaha kerana kita mempunyai peluang untuk layak ke Piala Asia seterusnya," katanya.
Malaysia akan melengkapkan baki saingan Kumpulan E menentang juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis ini.
Dalam pada itu, kekalahan malam tadi menyaksikan Malaysia masih gagal melepasi peringkat kumpulan dalam empat penampilan di Piala Asia selepas edisi 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.
-- BERNAMA