Presidennya Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, kepimpinan baharu sedang berusaha untuk memastikan pasukan bola sepak Kelantan mampu memberi saingan hebat terhadap pihak lawan.
"Hampir 12 tahun lepas, Kelantan menjadi antara pasukan digeruni dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
"Justeru, kita (KAFA) ketika ini menerusi kepimpinan baharu sedang berusaha dengan apa jua cara untuk mengembalikan semula Kelantan kepada radar bola sepak negara yang digeruni," katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak KAFA Bawah 14, di sini malam tadi.
Afandi berkata antara langkah sedang dilaksanakan adalah dengan menganjurkan kejohanan bawah umur dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Jajahan serta badan korporat bagi mencari bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Kita sebenarnya mempunyai banyak pemain berbakat dan mereka perlu digilap sejak awal lagi termasuk di peringkat sekolah.
"Ia penting agar suatu masa nanti kita dapat melahirkan semua pemain anak tempatan yang berkualiti tinggi dan mampu beraksi hingga peringkat antarabangsa," katanya.
Kebangkitan skuad The Red Warriors itu bermula pada 2009 selepas muncul naib juara Piala Malaysia dan Piala FA dan mengenggam treble pertama dalam sejarah pasukan mereka pada 2012 dengan menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.
Pasukan itu juga pernah layak ke Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dalam tiga edisi dan pencapaian tertinggi mara ke suku akhir pada 2012.
-- BERNAMA