KUALA LUMPUR: Jepun melaungkan amaran awal apabila berharap melakarkan kejutan merangkul kejuaraan sulung Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh yang akan berlangsung pada 1 hingga 10 Nov ini.

Jurulatih pasukan ranking ke-17 dunia itu, Akira Takahashi, berharap strategi untuk tiba awal di Ipoh dengan mendahului pasukan Korea Selatan, Afrika Selatan, Mesir dan Pakistan, akan membuahkan hasil dalam usaha merasai kegemilangan pada kejohanan berprestij itu.

"Kami datang awal kerana cuaca sangat sejuk di negara kami dan mahu menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan lembap di Malaysia.

"Sasaran adalah untuk memenangi kejohanan ini dan datang awal untuk mahu membuat persediaan yang cukup baik bagi menghadapi kejohanan ini," katanya, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Hoki Perak, semalam.

Selain tuan rumah, Malaysia, kejohanan tersebut disertai oleh Korea Selatan, Afrika Selatan, Mesir, Pakistan dan Jepun.

Jepun menduduki tempat keenam pada penampilan sulung pada 1987, diikuti tempat ketujuh (2016), keenam (2017 dan tempat kelima pada 2019.

Jepun akan membuka kempen dengan menentang Mesir pada 1 Nov ini.

Kejohanan tahunan sejak 1983 itu ditangguhkan pada 2020 dan 2021 kerana pandemik COVID-19.

-- BERNAMA