Babak pertama menyaksikan pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi rembatan luar kotak penyerang berbisa JDT Bergson da Silva pada minit kelapan hasil umpanan Heberty Fernandes De Andrade.
Bagaimanapun anak buah Nafuzi Zain menaikkan rentak permainan untuk cuba menyamai kedudukan tuan rumah namun sepakan Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik pada minit ke 19 berjaya di tepis penjaga gawang JDT Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Kesilapan komunikasi di antara pemain pertahanan KDA FC Mohd Akmal Md Zahir dan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dimanfaatkan sepenuhnya Bergson yang merampas bola dari Mohd Akmal dan melakukan sepakan lambung hingga membolosi gol lawan pada minit ke -35.
Bersambung babak kedua permainan, KDA FC terus kebuntuan gol apabila JDT 'kenduri' gol apabila Bergson sekali lagi menggelecek bola menembusi gawang lawan pada minit ke-64 untuk mencipta hatrik selain Muhamad Feroz Baharudin tidak menunggu lama untuk menambah jaringan 10 minit kemudian (minit ke-74).
Tidak sampai satu minit, Murilo Henrique De Araujo Santos terus menambah luka KDA FC apabila mencetak gol pada minit ke-75 dan umpama 'dirasuk', JDT memperoleh gol keenam tiga minit kemudian (minit ke-78) menerusi Afiq Fazail.
Sementara itu di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh menyaksikan skuad Sri Pahang FC tewas 2-3 kepada Sabah FC.
Bermain di halaman sendiri mulanya memberi keyakinan kepada pemain Sri Pahang untuk membuka tirai jaringan menerusi Kpah Sean Sherman seawal minit keenam namun Sabah bangkit menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Jafri Muhammad Firdaus Chew pada minit ke-18.
Gol itu diperolehi Sabah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) dilakukan bagi memastikan ia tidak berada dalam kedudukan ofsaid.
Selang enam minit kemudian (minit ke-26) Muhammad Farhan Roslan terus menggandakan jaringan pasukan pelawat sebelum rakan sepasukan, Daniel Sang Ting mencetak gol ketiga pasukan menerusi tandukan selepas menyambut sepakan sudut Telmo Ferreira Castanheira pada kminit ke-35.
Enggan tewas, Sri Pahang cuba bangkit menerusi jaringan kedua Kpah pada awal babak kedua (minit ke-48) namun ia tidak memadai untuk menyambut kegembiraan di laman sendiri sehingga wisel tamat dibunyikan.
-- BERNAMA