Pengendali kelahiran Argentina itu berkata walaupun berdepan kesukaran pada awal permainan, para pemain berjaya bangkit dan mempamerkan persembahan cemerlang sepanjang perlawanan untuk melakar kemenangan.
"Bagi saya, semua pemain bermain dengan sangat baik untuk memastikan kemenangan ini dan membolehkan kami mara ke pusingan seterusnya. Walaupun pihak lawan berjaya menjaringkan gol lebih awal pada separuh masa pertama, pemain kami berjaya menyamakan kedudukan dan kemudiannya menambah jaringan untuk memastikan kemenangan menjadi milik kami.
"Terima kasih kepada semua penyokong yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan ini supaya kami dapat melangkah lebih jauh," katanya semasa sidang media di sini.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan Oscar Arribas meluahkan rasa terima kasihnya, selain terharu dengan kehadiran 35,590 penyokong di SSI, yang memberikan sokongan padu kepada pasukan.
Beliau berkata sokongan luar biasa itu membantu meningkatkan semangat pasukan, sekali gus mendorong mereka untuk memberikan persembahan yang terbaik.
"Jumlah penonton kali ini sangat menakjubkan. Terima kasih kerana menyokong kami. Kami akan terus memberikan yang terbaik untuk mencapai kejayaan lebih besar pada masa hadapan," katanya.
Pada perlawanan itu, JDT menang 5-2 ke atas Pohang Steelers hasil jaringan Oscar Arribas pada minit ke-37, Bergson Da Silva (ke-52), Arif Aiman Hanapi (ke-56), Jese Rodriguez (90+7) dan Jorge Obregon (90+15, penalti), manakala pasukan pelawat meledak gol menerusi Lee Ho-Jae (ke-27) dan Kang Hyeon Je (ke-80).
Sementara itu, Ketua Jurulatih Pohang Steelers Park Tae-Ha mengakui skuad kendaliannya melakukan terlalu banyak kesilapan sepanjang perlawanan, yang menjadi punca utama kekalahan mereka.
Beliau berkata para pemain memberikan persembahan yang baik dalam perlawanan itu tetapi terpaksa akur dengan taktikal yang ditampilkan skuad Harimau Selatan.
Pada pusingan kalah mati yang dijadualkan Mac depan, JDT akan menentang satu lagi kelab Korea Selatan Gwangju FC, manakala Pohang Steelers tersingkir daripada saingan selepas menduduki tempat kesembilan pada aksi peringkat kumpulan Zon Timur.
-- BERNAMA
