KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meminta semua rakyat Malaysia berhenti mengecam atlet Ukraine, Maksym Koval yang memenangi pingat emas acara kategori F20.

Menyifatkan Koval sebagai rakannya, Ziyad, 31, berkata kecaman sedemikian memberi imej buruk kepada negara selain memberi tekanan yang tidak adil kepada atlet terbabit.

“Saya harap seluruh rakyat Malaysia kita jangan kecam kawan saya dan juga pemenang pingat emas dari Ukraine itu.

“Saya harap semua faham, dia kategori macam saya, dia pun ada perasaan macam saya, dia pun lemah macam saya, kategori kami sama.

“Apabila melihat dia (Koval) kena macam itu, saya tidak tahu situasinya macam mana (perasaan). Kalau saya dikecam begitu, saya dah sebak dan sedih.

“Apatah lagi dengan dia yang memberi komen negatif menyentuh aspek fizikal. Semua tindakan itu cukup negatif, kalau boleh kita sebarkan benda positif, insya-Allah kita akan jadi lebih maju,” kata Ziyad yang tiba di tanah air pada jam 6.43 petang Jumaat.


Paralimpik Tokyo | Kepulangan Ziyad Zolkefli, Wei Lun

BACA: "Saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku" - Jurulatih Ziyad

Dalam pada itu, Ziyad mengakui sangat sedih kehilangan pingat emas di Tokyo, namun tidak akan berputus asa dan berazam untuk berusaha lebih keras bagi memecah rekod dunia pada aksi akan datang.

“Saya sebenarnya sedih.. saya sangat sedih sebenarnya.. tetapi saya mahu tunjukkan yang saya juga kuat sebab benda ini kita sudah buat sedaya upaya... saya sudah berlatih sehabis baik.

“Saya sudah buat yang terbaik.  Saya telah buktikan kerana latihan yang dijalankan bukan untuk tempoh setahun dua, ditambah pula dengan penangguhan acara paralimpik ini lagi.

“Saya tidak pernah tidak bawa balik pingat untuk Malaysia, saya biasanya pergi bertanding dan saya akan sentiasa banggakan Malaysia.

“Cuma kali ini, rasanya agak lain kerana saya selalu bawa balik pingat, kali ini saya bawa rasa kesedihan dan kekecewaan,” kata Ziyad dalam sidang media selepas tiba di tanah air pada Jumaat.

Tambahnya, kejadian di Tokyo itu dijadikan pengajaran dan dia akan bangkit untuk beraksi lebih cemerlang di masa akan datang.

“Jadi, benda ini jadi satu pengajaran bagi saya, tahun depan ada game lagi, dan tahun 2024 (Olimpik Paris) saya akan usaha lagi untuk pecahkan rekod dunia sekali lagi, Insya-Allah,” ujarnya lagi.