Perbadanan Stadium Malaysia menafikan dakwaan pihaknya cuai setelah berbelanja hampir RM1.5 juta dalam kerja menaik taraf padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia Datuk Rozabil Ab Rahman menepis sekeras-kerasnya tuduhan bahawa kerja pembaikan stadium itu hanya membazirkan wang rakyat.

Pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil dikritik hebat ekoran kegagalan mengelolakan perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di antara Malaysia dan Vietnam esok hingga terpaksa dipindahkan ke Stadium Shah Alam.

Rozabil, dalam pada itu juga, memberi jaminan bahawa permukaan padang stadium berkenaan telah dibaik pulih sepenuhnya selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 1 November lalu.

“Sepanjang stadium ditutup selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, kami telah membaik pulih padang tanpa mengeluarkan sebarang perbelanjaan.

Masalah rumput yang dikatakan tidak mencengkam di stadium tersebut juga telah berjaya diselesaikan dan kini boleh digunakan untuk sebarang penganjuran pertandingan, menurut Utusan Malaysia.

“Kami masih menggunakan rumput jenis bermuda yang kami tanam sejak Februari lalu. Cuma teknik menanam rumput berkenaan sahaja yang kami ubah.

“Rumput bermuda ini tumbuh secara menjalar dan apabila kami mengubah teknik kepada potongan rumput secara menegak, rumput kini tumbuh dengan cantik dan tidak lagi menjalar,” katanya seperti dipetik portal berita itu semalam.

Sehubungan itu, beliau yang juga naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata pihaknya akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) penjagaan padang sebagai langkah terbaik agar masalah sama tidak berulang.