KUALA LUMPUR: Jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook seminit sebelum perlawanan tamat berjaya menyelamatkan skuad remaja hoki lelaki Malaysia daripada tewas di tangan pasukan bawah 23 Scotland selepas seri 1-1 dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021, semalam.

Keputusan seri dicapai Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan itu ternyata menarik perhatian Ketua Jurulatih Wallace Tan yang kagum dengan semangat juang pasukannya dalam mencari gol penyamaan sehingga minit-minit terakhir dalam perlawanan yang berlangsung di Clydesdale Hockey and Cricket Club itu.

"Dalam perlawanan hari ini (semalam) kami bermain dengan baik juga walaupun kami terlebih dahulu ketinggalan 0-1.

"Sehingga minit terakhir, pemain masih terus berjuang dan mereka dapat menyamakan kedudukan 1-1. Ini satu pembelajaran yang cukup baik untuk pasukan kami pada malam ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada aksi semalam, Scotland terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Mohamad Akhimullah muncul wira buat negara menerusi gol penyamaan pada minit ke-59.

Skuad remaja kebangsaan akan melengkapkan aksi terakhir yang merupakan perlawanan kelapan mereka di United Kingdom apabila dijadual bertemu lawan sama esok pada pukul 1.30 pagi (waktu Malaysia).

-- BERNAMA