SHAH ALAM: Keadaan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim semakin baik selepas menjalani pembedahan kedua pada Selasa malam.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, berdasarkan maklumat daripada pakar, pembedahan selama tiga jam itu menunjukkan hasil positif.

Katanya Faisal juga sudah boleh makan namun buat masa ini hanya makanan lembut diberikan kepadanya.

“Ketika melawat Faisal bersama Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi, saya difahamkan dia sudah boleh makan.

“Satu perkara yang baik, dia dah mula semangat nak bangun, nak buat latihan bola sepak secara sendiri.

“Bagi saya, ini sangat-sangat membanggakan sebab saya rasa semangat beliau kuat.

“Tapi harus diingat, ini merupakan pembedahan kedua dan saya difahamkan ada lagi pembedahan ketiga dan keempat tapi perkembangan agak positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC, berangkat ke hospital tempat Faisal dirawat pada Rabu.

Dalam pada itu, Shahril berkata, beliau yakin Faisal akan pulih dan kembali beraksi di padang, selain insiden tersebut bukanlah penamat kariernya.

Begitupun, beliau berkata trauma yang dilalui itu tidak mudah kerana ia bukan hanya melibatkan fizikal tapi juga aspek psikologi.

“Tiada jaminan (untuk Faisal kembali beraksi). Allah yang akan jamin. Tapi jauh di sudut hati, saya yakin.

“Orang tahu dia, orangnya kecil tapi semangatnya... saya rasa saya pun tiada semangat dia,” ujarnya.

Faisal kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di sini dan selepas pembedahan kedua pada Selasa, keadaan beliau dilaporkan semakin baik dan stabil.

Pemain kebangsaan itu cedera di bahagian kepala, muka, leher dan badan akibat disimbah asid ketika berada di sebuah kompleks beli-belah di Damansara pada Ahad lepas.