Bagaimanapun jurulatih berusia 44 tahun itu enggan mendedahkan strategi pasukannya sama ada Faisal diturunkan sepenuh masa atau sebaliknya.
“Boleh (diturunkan). Pembantu saya (Safuwan) kata boleh,” katanya yang sempat bergurau dengan meminta pendapat kapten pasukan, Safuwan Baharudin yang turut bersetuju Faisal diturunkan.
Beliau berkata demikian pada sidang media pra perlawanan akhir Piala FA menentang skuad Harimau Selatan di Bukit Jalil pada Jumaat.
Nidzam mengulas teka-teki sama ada tonggak skuad kebangaan itu berpeluang untuk diturunkan dalam perlawanan akhir tersebut.
Faisal pada 11 Ogos lalu kembali beraksi buat kali pertama dalam saingan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Petaling Jaya.
Pemain berusia 26 tahun itu yang mesra disapa Mickey dimasukkan pada 10 minit terakhir sebelum perlawanan tamat dengan memakai topeng muka khas.
Penampilan tersebut amat dinantikan para peminat setelah pemain kelahiran Pulau Pinang itu menjalani proses rawatan dan pemulihan akibat kecederaan melecur tahap empat setelah menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu. - Sinar Harian